ROMPIN 24 Jun - Sukan motor lasak atau 'motorcross' lazimnya dikaitkan dengan pembabitan golongan lelaki. Namun bagi seorang gadis dari Rompin, sukan itu telah sebati dengan jiwanya.
Norlaili Sakinah Mohamad Kasim, 17, yang
bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mahu membuktikan
kepada masyarakat golongan wanita juga mampu pergi jauh dalam sukan itu jika
mempunyai keinginan dan kesungguhan.
Malah dia juga tidak pernah berasa kekok
apabila terpaksa bersaing dengan kaum lelaki ketika menyertai satu pertandingan
bagi kategori Junior B bawah 16 tahun tidak lama dahulu sehingga menyebabkan
rasa gerun dalam kalangan pesaingnya.
Menurutnya, pembabitannya dalam sukan itu
direstui keluarga yang memang meminati sukan lasak dan dia turut tidak
ketinggalan menyertai pelbagai kejohanan dalam dan luar negara.
''Siapa
kata wanita seperti saya tidak sesuai dengan sukan ini, malah saya telah
membuktikan bahawa saya mampu bersaing dengan lelaki lain dalam kategori yang
sama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Norlaili Sakinah berkata, dia menjadikan
jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David sebagai inspirasi dalam dunia sukan yang
disifatkannya hanya didominasi atlet lelaki sebelum ini.
''Saya mahu buktikan sukan motosikal lasak
ini boleh menaikkan nama Malaysia di pentas dunia sama seperti yang dilakukan
Nicol dalam sukan skuasy hingga mampu muncul pemain terbaik dunia,"
katanya.
Jika diberi peluang, dia mahu menjadi
atlet wanita yang mampu beraksi di peringkat yang lebih tinggi seterusnya
mengharumkan nama negara dalam sukan motor lasak.
''Impian saya terlalu tinggi, jika
berpeluang sudah tentu saya mahu mewakili negara di pentas antarabangsa untuk
bersaing dengan pelumba dari negara lain," ujarnya.
Norlali Sakinah memberitahu, tidak timbul
soal takut untuk menunggang motor lasak itu berikutan jentera tersebut
dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lengkap termasuk penggunaan topi
keledar dan jaket keselamatan
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Seri Rompin di sini itu bagaimanapun tidak sesekali melupakan bidang pelajaran
meskipun bergiat aktif dalam sukan tersebut apabila mendapat keputusan
cemerlang dengan memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(PMR) dua tahun lalu.
''Sukan ini adalah hobi saya, bagaimanapun
bidang pelajaran tetap tidak akan saya lupakan. Apa yang penting kita kena
pandai bahagi masa dalam pelajaran dan sukan," katanya.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment